PENGENALAN

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cik Hasimah penyelia PPIK ALMA yang memberi peluang kepada saya untuk melangkah lebih luas dalam bidang perniagaan.

Saya Puan Sahariah Binti Ahmad, berusia 64tahun. Saya dilahirkan di Kampung Buaya Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak. Selepas berkahwin saya berpindah dan menetap di Kampung Telok, Bukit Minyak bersama suami dan anak-anak hingga kini. Saya seorang pengusaha dan penjual bedak sejuk tradisional buatan tangan secara kecil-kecilan.

Perniagaan ini telah saya usahakan lebih kurang 22 tahun yang lalu. Kaedah pembuatannya pula saya pelajari dari aruah ibu saya yang juga pandai dalam membuat bedak sejuk. Biarpun langkah membuatnya agak rumit namun saya tetap berminat untuk meneruskannya. Pada permulaan kurang menjadi namun itu semua tidak menjadi pelemah semangat saya. Saya terus membuat dan belajar dari kesilapan.

Pada asalnya saya hanya belajar membuat untuk kegunaan sendiri. Kemudian saya berikan secara percuma kepada rakan-rakan hanya untuk suka-suka. Apabila ada keraian seperti bercukur jambul atau kematian saya sedekahkan bedak sejuk saya kerana ada kegunaannya. Setelah sekian lama, atas nasihat rakan-rakan dan keluarga yang melihat sambutan orang kampung mereka memberi cadangan supaya saya mula menjual bedak sejuk saya. Boleh juga saya menambah pendapatan keluarga. Bermula dari itu saya mula menjual bedak sejuk saya dan permintaannya semakin banyak hingga kini.

Biarpun dizaman moden ini terdapat pelbagai produk baru yang lebih canggih namun saya tetap ingin meneruskan perniagaan kecil-kecilan saya ini. Kadang-kadang sengaja saya bertanya pada anak-anak tidak berasa malukah mak menjual bedak sejuk. Sampaikan lekat nama panggilan makcik Saba bedak sejuk.. anak-anak berkata apa yang hendak dimalukan. Bukannya mencuri malahan semuanya dibuat sendiri dengan bahan semulajadi, bahkan dibuat dengan bersungguh-sungguh dan teliti supaya orang puas memakainya. Bagi anak-anak pula terasa lebih senang dikenali contohnya ke rumah kenduri, orang bertanya "anak siapa ni?", "anak makcik saba..", "saba yang mana?", "makcik saba bedak sejuk..", "ooohh yang tu", kadang-kadang gembira juga dengan cara itu apabila terjumpa, orang akan memesan bedak sejuk dapat juga membantu emak.

Itulah yang menjadikan semangat saya lebih kuat. Dengan adanya sokongan keluarga saya berharap dapat terus maju dengan perniagaan bedak sejuk saya ini.



2 ulasan:

  1. Jika bedak dicampur dengan vitamin a, b complex, c, e, k (dibeli dari pharmacy dan diperah keluar dari kapsul), tea tree extract dan air daun pandan, adakah bedak sejuk akan jadi selamat digunakan dan lebih efektif dan bernutrisi?

  2. Berapa harga utk 1 pek